kejayaan bukan destinasai tetapi sebuah perjalanan

Social Icons

Pages

Tuesday, 17 September 2013

MINORITI MUSLIM

Dalam banyak tugasan yang diberikan kepada saya oleh Pensyarah. Saya agak seronok dengan tugasan untuk subjek MINORITI MUSLIM. untuk tugasan ini saya memilih tajuk Minoriti Muslim Di Amerika Syarikat. Banyak faedah, pengajaran dan pengetahuan daripada tugasan ini. Secara keseluruhannya Subjek ini membuka minda saya tentang kehidupan umat Islam di dalam negara yang majoritinya non-Muslim. Kita sangat beruntung dan bersyukur. terima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan. Antara sub tajuk dalam tugasan saya



SEJARAH PEMBENTUKAN MASYARAKAT MINORITI MUSLIM DI AMERIKA SYARIKAT
            3.1       Muslim awal
Sebahagian sejarawan percaya bahawa muslim pertama yang sampai ke amerika ialah melalui penjelajah Sepanyol pada abad ke 15 dan awal abad ke-16. Sulayman menyatakan dengan merujuk kepada  kerja Abdullah Hakim Quick bahawa Muslim telah sampai ke wilayah ini sebelum Colombus mendarat di pantai wilayah ini  berdasarkan kepada dapatan dalam Sumber arab klasik  dimana ada komen daripada pelayar Muslim Kordoba yang bernama khashkhash Ibn saeed Ibn Aswad yang mana dia telah belayar merentasi lautan Antlantik dan kemudiannya kembali ke Sepanyol pada Abad ke-10 dengan  keuntungan yang banyak. Pada Abad ke-12 sebilangan pelaut daripada kawasan yang sama telah menjelajah untuk sampai ke hujung “ the sea of the darkness and fog” (Lautan Atlantik) dan melaporkan bahawa jarak antara tanah mereka dan penghujung lautan Atlantik hanya memakan masa 2 bulan pelayaran  (Fachrizal,  236: 2006).
           

            Sebahagian Sejarawan berpendapat bahawa selama hampir dua abad sebelum penjelajahan Colombus pada tahun 1492, orang-orang Muslim telah melakukan pelayaran dari Sepanyol dan sebahagian  pesisir laut Afrika ke Amerika selatan dan Amerika Utara. Para penjelajah Muslim Afrika konon telah menembus sebahagian besar wilayah Amerika selatan dan Utara bergaul dan menikah dengan penduduk asli Amerika. Sebahagian berpendapat bahawa orang-orang Muslim telah mendirikan pos-pos perdagangan (Trading post) dan bahkan memperkenalkan sejumlah benda-benda seni dan kraftangan di Amerika Selatan dan utara. Bukti-bukti yang menyokong penyataan tersebut diambil daripada peninggalan sejarah (artifak), tulisan-tulisan dan laporan dari kisah-kisah para saksi (Jane I. Smith, 1999:74). Sejarawan percaya bahawa  orang-orang Islam di awal pelayaran dunia baru telah berkhawin dengan orang asli Amerika. Memetik sebagai bukti artifak, inskripsi dan persamaan linguistik antara bahasa ibunda dan bahasa arab. Walaubagaimanapun tiada persetujuan ilmiah mengenai teori ini kepada kedatangan awal Islam di Amerika (Anna Melman, 2006: 8).
Pada tahun 1492 terjadi  peristiwa bersejarah bukan hanya kerana penjelajahan columbus bahkan pada tahun tersebut juga menandakan berakhirnya secara rasmi kehadiran Islam sepanyol di Iberia yang kini dikenali sebagai Sepanyol dan Portugal. Pada tahun 1474, pasangan suami isteri Fernando dari Aragon dan Isabella dari Seville berjaya menyatukan dua kerajaan yang terpisah. Mereka dikenali sebagai raja dan ratu Katolik. Mereka merampas wilayah Muslim yang terakhir di Granada pada tahun 1942. Semenjak berakhirnya abad ke-15, orang-orang Muslim (sering disebut sebagai bangsa Moor) diseluruh semenanjung Iberia dipaksa memilih antara pertama, berpindah kepada agama Kristian kedua, berimigrasi dan ketiga, hukuman mati. Orang Muslim yang memilih yang pertama terus menjalankan amalan agama Islam secara diam-diam dan tetap menjalankan pertemuan rahsia umat Islam selama  berabad-abad.  Banyak bukti yang  menunjukkan bahawa sebahagian orang-orang Islam yang diusir  tersebut berjaya menuju ke kepulauan Carrabean dan berjaya sampai ke selatan negara Amerika Syarikat pada masa ini. Para ilmuan dari pelbagai disiplin ilmu berhasil membuktikan teori-teori tersebut yang dipandang oleh sebahagian Muslim Amerika sebagai bukti bahawa Islam berperanan dalam sejarah awal  Amerika Syarikat (Gutbi Mahdi Ahmed, 1991:11).

            3.2       Kaum Imigran Muslim Awal.
Migrasi Muslim ke Amerika syarikat terjadi dalam beberapa peringkat:
         
   i. Peringkat pertama
Migrasi Muslim pertama berlaku antara tahun 1875 sehingga 1912 dari wilayah-wilayah yang pada ketika itu disebut sebagai Syria Besar di bawah pemerintahan Empayar Uthmaniyyah yang pada masa ini termasuk Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Majoriti kaum imigran dari timur tengah pada ketika itu adalah beragama kristian dan mempunyai pengetahuan tentang Amerika dari pelajaran di sekolah gereja. Sebahagian kecil adalah orang-orang Muslim sunni, syi’ah dan Alawi . Orang-orang Kristian Arab telah pergi ke Amerika dan kembali dengan selamat dan orang-orang Islam berusaha untuk kembali (Anna Melman, 2006: 10). Kebanyakkan yang bermigrasi ke Amerika tidak membawa bersama isteri dan mereka berkerja buruh kasar seperti perlombongan, berniaga dan mereka saling bersaing dengan para imigran lain dalam melakukan pekerjaan. Sebilangan orang Muslim wanita yang sampai ke Amerika berkerja sebagai pekerja kilang. Namun disebabkan kegawatan ekonomi yang dihadapi oleh imigran Muslim ramai dalam kalangan mereka tidak dapat kembali ke tempat asal dan akhirnya menetap di Amerika (Anna Melman, 2006: 11). Imigran awal muslim mula sampai ke Amerika Syarikat dan mereka semakin meningkat. Imigran muslim tertarik dengan peluang ekonomi dan pekerjaan di Amerika. Tujuan mereka ialah untuk mencari keuntungan dalam pekerjaan dan akan pulang semula ke negara asal. Namun demikian, kebanyakkan diantara mereka gagal untuk mencapai hasratnya dan tidak dapat kembali ke kampung halaman. Ada juga yang berjaya  dalam kerjaya, menjalinkan hubungan dengan masyarakat asli Amerika dan mengambil keputusan untuk menetap. Berita tentang kejayaan mereka menarik minat ahli keluagra dan saudara mara mereka untuk bersama-sama pergi ke Amerika (Gutbi Mahdi Ahmed, 1991:12).
            ii.Peringkat ke dua
Peringkat kedua bermula pada akhir perang dunia I setelah runtuhnya kerajaan Uthmaniyyah yang sebelumnya menguasai sebahagian besar Timur Tengah yang kebanyakkan penduduknya adalah Muslim. Hal ini juga bertepatan dengan Pemerintahan Kolonial barat di bawah sistem mandat di Timur Tengah. Ramai orang yang datang ke Amerika pada waktu itu adalah kerabat dan ahli keluagra Muslim yang telah lebih dahulu bermigrasi ke Amerika dan memiliki penempatan di sana. Undang-undang migrasi Amerika Syarikat yang ditetapkan pada tahun 1921 dan tahun 1924 mengatur sistem kuota bagi bangsa-bangsa tertentu sehingga mengehadkan jumlah Muslim yang dibenarkan untuk masuk ke negara tersebut (Jane I. Smith, 1999:76).
            iii. Peringkat Ke tiga
Selama period ke tiga yang berlangsung selama hampir sepanjang tahun 1930-an. Imigrasi dibuka secara khusus hanya bagi kerabat daripada  orang-orang yang  telah dulu tinggal di Amerika. Jumlah Muslim yang dibenarkan untuk menetap di Amerika  terbatas dan tidak bertambah sehingga setelah Perang Dunia ke II (Anna Melman, 2010:12 )
            iv. Peringkat ke-empat
Peringkat ke-empat berlangsung dari tahun 1947 hingga tahun 1960. Antara dua tahun ini terjadi peningkatan besar imigran. Undang-undang kewarganegaraan tahun 1953 memberikan kuota imigran setiap tahun untuk setiap negara. Oleh kerana kuota tersebut berdasarkan peratusan penduduk di Amerika Syarikat di akhir abad ke-19, maka kebanyakkan imigran yang masuk kedalam negara tersebut ialah berasal daripada Eropah. Walau bagaimanapun imigran Muslim tetap datang yang tidak hanya berasal daripada timur tengah malah daripada India dan Pakistan, Eropah Timur dan Soviet Union. Sebahagian besar yang datang menetap di kota-kota besar seperti Chicago dan New York. Berbeza dengan imigran-imigran awal apabila kebanyakan imigran kali ini memiliki latar belakang bandar dan berpendidikan tinggi. Sebahagian mereka adalah anggota keluarga mantan penguasa dan ramai yang sifat dan perilakunya telah terpengaruh dengan barat. Mereka datang ke Amerika Syarikat dengan harapan untuk melanjutkan pelajaran mereka (Anna Melman, 2010:12 )
            v. Peringkat ke-lima
Gelombang yang terakhir penghijrahan ini berkait dengan keputusan-keputusan dalaman Amerika syarikat  dan peristiwa-peristiwa yang terjadi di sebahagian dunia Islam. Pada tahun 1965, presiden Lyndon Jhonson menandatangani undang-undang imigrasi yang membatalkan kuota berdasarkan agama suku bangsa penduduk Amerika Syarikat.Untuk pertama kalinya sejak awal abad ke-20  hak seseorang untuk memasuki negara ini tidak khusus bergantung kepada asal usul atau bangsa seseorang. Oleh yang demikian, imigrasi dari Eropah lantas berkurang sedang imigran dari timur tengah dan asia meningkat pesat dan lebih daripada separuh imigran tersebut adalah beragama Islam.
            Selama beberapa dekad terakhir, kekacauan politik di banyak negara dunia Muslim telah menyebabkan imigrasi terus meningkat. Pada tahun 1967 pasukan Arab telah mengalami kekalahan di tangan Israel. Hal ini menyebabkan perpindahan besar-besaran orang Palestin menuju ke barat yang terus berlangsung sehingga masa kini. Revolusi di Iran pada 1979 dan naiknya Ayatullah Khomeini di tampuk kekuasaan memaksa ramai orang Iran meninggalkan negeri mereka dan sebahagiannya memutuskan untuk datang ke Amerika. Perang saudara di Pakistan dan pecahnya Pakistan timur menjadi negara Bangladesh, gerakan pembunuhan orang-orang Muslim di India, rampasan kuasa ketenteraan di Afganistan dan perang saudara di Lubnan semuanya memberi impak kepada penghijrahan kaum muslimin ke Amerika. Penyerangan Iraq ke atas Kuwait menyebabkan ramai orang Kurdi melarikan diri ke Amerika Syarikat. Sementara perang saudara di Somalia dan afganistan, kekuasaan rejim tentera di Sudan dan pemusnahan etnik di Bosnia juga memperbesarkan Jumlah imigran Muslim di Amerika Syarikat.  Kebanyakan yang datang pada kali ini berasal dari benua Asia Selatan, termasuk Pakistan, India dan bangladesh. Dewasa kini, kelompok tersebut berjumlah lebih daripada satu juta orang. Mereka juga semakin bertambah dengan kelompok-kelompok besar yang berasal daripada Malaysia dan Indonesia .(Jane I. Smith, 1999:78). 
           
3.3       Pengislaman warga Amerika
Meskipun majoriti umat Islam di Amerika adalah adalah orang Amerika keturunan Afrika dan golongan imigran, ramai rakyat Amerika yang memilih memeluk agama Islam sebagai agama dan cara hidup mereka dan jumlah ini terus bertambah. Anggaran jumlah Muslim berbangsa Amerika kulit putih di Amerika Syarikat ialah antara 20 000 hingga 50 000 orang. Namun agak sukar untuk menentukan jumlah yang tepat. Sebahagian antara mereka adalah perempuan bangsa kulit putih yang menikahi lelaki-lelaki Muslim. Perpindahan agama mereka terjadi kerana si suami yang mengkehendaki isterinya menerima Islam. Lebih daripada separuh pernikahan antara lelaki muslim Imigran dan perempuan Amerika Non-muslim si isteri memeluk agama islam. Namun demikian, terdapat juga yang memeluk Islam sebelum berkhawin dengan lelaki Muslim.
            Orang Amerika kulit putih lainnya memilih menganut Islam disebabkan beberapa perkara. Sebahagian mereka tertarik dengan daya keintelektualan daripada sebuah peradaban besar yang memiliki berbagai pencapaian akademik, ilmiah dan budaya.  Salah satu penyebab yang menyebabkan tersebarnya islam di berbagai penjuru dunia selama berabad-abad ialah kesederhanaan yang jelas daripada penyataan keimanan dan lima rukun Islam yang wajib diamalkan oleh seorang muslim yan taat. Bagi sebahagian orang Amerika penjelasan tentang Islam ini adalah alternatif menarik berbanding hal yang mereka pandang sebagai doktrin-doktrin kristian dan fahaman tritunggal yang membingungkan yang dianut oleh gereja Kristian. Sebahagian orang Amerika lainnya memandang platform Islam yang memandang kesetaraan merupakan sebuah alternatif yang baik berbanding Kristian yang kadang-kadang nampak terikat dan tidak mampu melepaskan diri dari praktikal peribadatan yang penuh dengan prasangka dan keraguan. Islam pertama muncul di wilayah permukiman warga Amerika Latin di Timur Laut Amerika pada awal tahun 1970-an.  Sebahagian besar adalah orang-orang Puerta Rico generasi pertama dari New York. Mereka bergaul dengan masjid-masjid warga Amerika keturunan Afrika (Jane I. Smith, 1999:99). 
           
            3.4       Pengislaman warga Amerika keturunan Afrika
Dewasa kini semakin ramai yang menyedari bahawa imigrasi sukarelawan adalah salah satu cara orang-orang Muslim sampai ke Amerika dan bagi mereka Amerika bukanlah negeri harapan melainkan negeri penghambaan. Sejumlah besar orang Afrika kulit hitam yang dibawa ke Amerika utara semasa zaman perdagangan hamba pada pasca penjajahan sebelum perang saudara adalah orang yang menganut agama Islam. Jumlah mereka tidak dapat dipastikan dengan pasti namun dianggarkan sekitar beberapa ribu orang. Sebahagian sejarawan berpendapat bahawa dua puluh peratus hamba yang berasal daripada Afrika adalah Muslim. Para lelaki dan perempuan yang dijerat ke dalam penghambaan ini datang dari pelbagai wilayah di Afrika sub-sahara dari Senegal hingga ke Nigeria. Ada dalam kalangan mereka sangat terpelajar dan berpengetahuan agama sementara yang lainnya adalah penganut Islam biasa. Majoriti Orang-orang Muslim Afrika ini sama sekali tidak pernah berhubungan dengan orang-orang kulit putih sebelum mereka diperhambakan. Malangnya hamba-hamba yang beragama Islam yang hendak menjalankan ibadah Islam semasa zaman penghambaan yang kejam di Amerika tidak pernah diizinkan oleh majikan mereka yang beragama Kristian. Seperti orang-orang Muslim yang memilih tetap tinggal di Sepanyol setelah tahun 1492 dipaksa untuk memeluk agama Kristian demikian juga terjadi kepada hamba-hamba Amerika yang turut dipaksa menganut agama Kristian ( Jamilah a.Karim, 2006: 229).
Hamba berbangsa Afrika di Amerika tidak mempunyai pilihan lain untuk tinggal Amerika namun sebilangan kecil daripada mereka berjaya melarikan diri pulang ke Afrika dan sebahagian besar daripada mereka telah menganut agama Kristian. Catatan menunjukkan bahawa beberapa orang berjaya mempertahankan keislaman mereka dan terus mengamalkan ajaran Islam sehingga abad ke-20. Umumnya mereka terpaksa melaksanakan ibadat mereka secara sembunyi-sembunyi. Beberapa catatan menyatakan ada juga sebilangan daripada mereka yang tetap mengambil risiko diejek dan dihukum berat kerana memilih untuk menunaikan ibadat secara terang-terangan kerana ianya adalah kewajipan yang wajib ditunaikan (Amineh Beverly, 1995: 10)
            Pada masa perhambaan ini sebilangan besar hamba yang dibawa ke Amerika adalah Muslim. Ketiadaan kebebasan beragama kepada hamba telah menyebabkan tradisi dan agama Islam mereka disembunyikan bukannya pupus. Walaubagaimanapun banyak artifak yang ditemui di selatan dan utara Amerika membuktikan kewujudan Muslim semasa zaman penghambaan. Jadi, tempoh penghambaan ini adalah era tradisi dan warisan Afrika telah hilang dan dimusnahkan ( Fachrizal halim, 2006: 236).



No comments:

Post a Comment